Masa begitu cepat berlalu, tanpa terasa kita sudah berada di bulan Ramadhan. Selesai Ramadhan kita akan merayakan hari lebaran. Bagi kakitangan yang seratus peratus beragama islam dan berkeluarga, memenuhi kehendak keluarga merupakan tanggungjawab namun dalam masa yang sama tanggungjawab terhadap jabatan juga amat dituntut.Justeru itu ada sesetengah stesen atau bahagian giliran bercuti perlu perancangan teliti. Ini kerana ramai anggota merancang untuk bercuti panjang sempena Syawal nanti.
Masalah timbul apabila ada sesetengah kakitangan ingin bercuti beberapa hari sebelum dan selepas hari raya, terutama sekali yang telah berkeluarga dan menetap atau berasal dari kampung berlainan termasuk dari daerah berjauhan. Jika cuti tidak dirancang dengan teliti ia bakal menjejaskan perkhidmatan yang bakal disampaikan kepada pelanggan. Dalam masa yang sama anggota lain juga ingin mengambil cuti sama ada sebelum atau selepas hari raya. Tempat-tempat yang kritikal adalah bahagian atau unit yang mengamalkan tugasan giliran atau 'shift'.
Mengikut pengalaman semasa bertugas di bukit Kayu Hitam dan LTA Bayan Lepas Penang, dimana kedua-duanya sistem bekerja mengamalkan ugasan giliran atau shift. dalam keadaan ini biasanya rata-rata anggota yang beragama islam akan mengambil cuti panjang, maka cuti bergilir terpaksa dirancang mengikut tahun.
Biasanya yang menjadi mangsa adalah anggota yang kurang karenah atau kalangan mereka yang tidak balik kampung, sama ada ahli keluarga telah tidak ada atau atas sebab lain. Dalam keadaan biasa, selalunya anggota yang ditukar dari Sabah dan Sarawak akan mengambil tempat bertugas pada hari-hari raya begini.
Semasa bertugas di LTA Bayan Lepas antara tahun 2000 -2003, pengalaman bertugas di hari raya memang mencabar terutama sekali apabila takbir bergema dan hanya beberapa orang sahaja kalangan orang islam bertugas. Yang bertugas inilah masing-masing membawa juadah pada pagi raya dan hidangan dirasa bersama-sama umpama sebuah keluarga. Untungnya bertugas pada masa hari raya kita juga tidak ketinggalan menunaikan solat aidil fitri atau adha dan kebali bertugas setelah selesai solat, sehinggalah waktu shift tamat.
Mungkin bagi mereka yang bertugas mengikut waktu pejabat tidak menjadi masalah disebabkan cuti agak panjang termasuk hari Sabtu dan Ahad. Sebenarnya tidak ada bezanya antara di Sabah dan Semenanjung Malaysia berkaitan sambutan aidil fitri mahupun aidil adha, amalan kunjung mengunjung, hidangan rendang dan ketupat merupakan amalan biasa.
Sambutan raya 2010 ini agak hambar bagi saya dan keluarga kerana kami baru saja kehilangan ibu/ibu mertua tersayang. Jika sebelum hari raya semua keluarga akan berkumpul memohon restu dan kemaafan daripada orang tua tahun ini pasti hambar. Oleh itu saya tidak merancang untuk cuti sempena aidil fitri tahun ini, biarlah hanya para anggota saya mengambil cuti sempena lebaran ini.